Tajuk: Bolehkan saya memakai barang copy-ori untuk solat?
Assalamualaikum Ustaz.
Kawan-kawan selalu menunjuk-nunjuk memakai baju/beg branded dan membuatkan saya untuk memakai seperti mereka tapi gaji saya hanya cukup-cukup je kerana saya kerja kerajaan. Dan saya hanya mampu membeli barang copy ori sahaja untuk bergaya.
Apakah hukumnya saya memakai barang copy ori untuk solat? Bolehkah saya solat dengan baju tersebut? Sebab saya pun nak bergaya dan nak orang pandang saya ni hebat. Harap ustaz boleh jelaskan. terima kasih. – Abg Ja
Jawapan Hukum Memakai Barang Copy-Ori Untuk Solat
Waalaikumussalam,
Barang copy ori ialah barang yang ditiru atau ciplak dari barang yang asli dan asal. Jika barangan yang ditiru itu tidak mendapat persetujuan daripada pemilik barang yang asalnya, maka barang tersebut turut dinamakan sebagai barangan tiruan.
Tidak kisahlah samaada copy-ori dari kasut Nike, baju Supreme, seluar jeans Levis.
Islam amat menjaga hak milik individu dan juga hak umum. Kita tidak dibenarkan untuk mengeksplotasi mana-mana bahagian daripada usaha orang lain demi kepentingan sendiri. Malah, undang-undang juga turut memberi perlindungan terhadap paten dan hak cipta.
Hukum Membeli Dan Memakai Barangan Copy Ori
Membeli sesuatu barangan dengan jalan yang salah dilarang dalam agama. Firman Allah Taala:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya)
Antara yang dimaksudkan dengan batin atau jalan yang menipu ini ialah bila mana seseorang mengambil jenama orang lain tanpa pengetahun pemilik asalnya. Mengambil sesuatu tanpa mendapat keizinan daripada pemilik asal adalah haram kerana ianya merupakan salah satu penipuan.
Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا
Maksudnya: “Siapa yang menipu maka dia bukan daripada kalangan kita (umat Islam).”
❊ Riwayat Muslim, hadith no. 101 ❊
Islam turut mengiktiraf penjenamaan dan hak milik jenama perniagaan, yang mana ianya disebut sebagai I’sim at-tijari (اسم تجاري).
Kesatuan Ulama Fiqh Sedunia yang bersidang pada tahun 1988 telah mengitiraf hak cipta, hak nama syarikat dan produk, seperti yang telah diputuskan dalam keputusan nombor 43 (5/5). Maka, haram hukumnya bagi mereka yang menjual dan meniagakan barangan demikian apabila ia telah didaftarkan atau di hebahkan sebagai hak cipta terpelihara, kecuali setelah mendapat izin tuan milik hak itu.
Bukan sekadar mereka yang menjual, malah para pembeli turut diharamkan membeli barangan tiruan ini.
Dr. Yusof al- Qardhawi dalam kitabnya “Halal Dan Haram Dalam Islam” menyatakan bahawa Islam mengharamkan seorang muslim membeli sesuatu yang sudah diketahui, bahawa barangan tersebut adalah hasil rompakan atau hasil curian, ataupun sesuatu yang telah diambil dari orang lain dengan jalan yang tidak betul.
Ini kerana perbuatan tersebut adalah menyamai amalan membantu perompak, pencuri selain ianya melanggar hak-hak orang lain, serta melanggar undang-undang, berdasarkan kepada hadith Rasulullah s.a.w.:
مَنِ اشْتَرَى سَرِقَةً وَهُوَ يَعْلَمُ أَنَّهَا سَرِقَةٌ فَقَدْ أُشْرِكَ فِي عَارِهَا وَإثْمِهَا
Maksudnya: “Barangsiapa yang membeli barang yang dicuri, sedangkan dia tahu bahawa barang itu adalah barang yang dicuri, maka dia telah berkongsi kesalahan dalam dosa pencurian tersebut.”
❊ Riwayat Baihaqi, hadith no. 10826 ❊
Namun, jika barang tiruan itu memang jelas ketiruannya di mata pelanggannya serta tiada pula penipuan dari sudut harganya (menurut kualiti barang tiruan itu), maka hukumnya harus sahaja.
Hukum Solat Dengan Pakaian Tiruan
Jika seseorang itu mendirikan solat mengikut rukun dan syarat, solatnya sah dan dia tidak perlu mengulangi solatnya semula, walaupun dia memakai pakaian tiruan ketika solatnya.
Dalam perbahasan fiqh, di sana ada satu istilah yang dinamakan sebagai jihah munfakkah (terpisahnya bahagian). Isu sahnya solat dan isu memakai pakaian tiruan adalah dua isu yang berbeza. Maka, disimpulkan bahawa solat dengan pakaian tiruan adalah sah, sekiranya memenuhi rukun dan syarat. Namun, si pemakainya tetap dikira berdosa.
Kesimpulan
Islam tidak menghalang umatnya memakai pakaian yang berkualiti tinggi dan dilihat mewah pada pandangan mata masyarakat. Namun, Islam menghalang umatnya memakai pakaian copy ori, yang mana ianya merupakan salah satu penipuan serta menzalimi hakcipta pemilik asal.
Walaupun solat dengan memakai pakaian copy ori adalah sah,. dengan syarat cukup rukun dan syarat sah solatnya, namun hukum memakai pakaian copy ori tetap dikira sebagai berdosa.
Berserdahanalah dalam berbelanja. Bak kata pepatah Melayu, ‘ukurlah baju badan sendiri.’ Biarlah orang lain yang mampu untuk bergaya dengan cara mereka. Kita juga boleh bergaya dengan kadar kemampuan diri kita.
Wallahualam.
Apakah hukum solat dengan baju copy-ori?
Solatnya sah jika memenuhi syarat dan rukun kerana isu sahnya solat dan isu memakai pakaian tiruan adalah dua isu yang berbeza.
Apakah hukum memakai pakaian seluar/kasut tiruan?
Dr. Yusof al- Qardhawi dalam kitabnya “Halal Dan Haram Dalam Islam” menyatakan bahawa Islam mengharamkan seorang muslim membeli sesuatu yang sudah diketahui, bahawa barangan tersebut adalah hasil rompakan atau hasil curian, ataupun sesuatu yang telah diambil dari orang lain dengan jalan yang tidak betul.
Sy Syed kamal…Ampag Jaya..Nak bertanya..Harta Ibi Bila menunggal wang dari wang kemas..bila da Lmeneninggal Patut kah anak anak membahagi jumlah wanga kemas sama rata..dan menolak ikut kadar jumlah ..
Jika anak perempeua kira sendiri.tanpa pengetahuan 3. Beradik lain sah atau tidak