Buku doa percuma

Hukum terlanjur anak luar nikah. Apakah status anak tersebut?

Tajuk: Penjelasan mengenai hukum terlanjur anak luar nikah dan status anak walaupun sudah berkahwin selepas itu.

Assalam Ustaz. Saya ada seorang kawan yang telah terlanjur dengan bekas kekasihnya dan dia telah mengandung 4 bulan semasa belajar. Kemudian kedua-dua pihak keluarga telah terpaksa menyegerakan perkahwinan mereka berdua untuk menutup malu tersebut. Apakah sah perkahwinan mereka itu? Dan bagaimanakah pula status anak tersebut?

Jawapan tentang hukum terlanjur anak luar nikah

terlanjur anak luar nikah copy

Zina merupakan salah satu daripada dosa besar. Mereka yang berzina akan memberi kesan yang buruk terutamanya jika wanita tersebut mengandung dan terlanjur anak luar nikah. Malah, Islam sendiri meletakkan hukuman yang sangat berat buat mereka yang berzina sebagaimana firman Allah S.W.T:

 الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ ۖ وَلَا تَأْخُذْكُم بِهِمَا رَأْفَةٌ فِي دِينِ اللَّهِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۖ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman yang dikenakan ke atas mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.

Surah Al-Nur: Ayat 2

Bagi mereka yang telah berzina, mereka perlulah bertaubat dengan sebenar-benar taubat, menyesal atas dosa yang dilakukan serta berazam tidak akan mengulanginya.

Hukum Perkahwinan Pasangan yang Telah Berzina

Hukum perkahwinan bagi pasangan yang telah berzina tetap sah jika pernikahan itu cukup syarat dan rukunnya. Rukun nikah ada 5 iaitu:

  1. Pengantin lelaki (suami)
  2. Pengantin Wanita (isteri)
  3. Wali
  4. Dua orang saksi lelaki
  5. Ijab dan Kabul (akad nikah)

Jika cukup lima rukun ini, maka perkahwinan itu sah tanpa sebarang keraguan.

Bagaimanapun, jika berkahwin dengan sepupu, hukumnya adalah harus. Boleh rujuk penjelasan Ustaz di Bolehkah berkahwin dengan sepupu sendiri?

Hukum Anak Luar Nikah

Bagi status anak luar nikah, jumhur ulama berpendapat anak yang tidak sah taraf tidak boleh dinasabkan atau dibinkan kepada bapa biologinya, walaupun setelah bapa biologinya itu berkahwin dengan ibunya. Hal ini memberikan implikasi dari sudut penamaan, keturunan anak, pergaulan dalam keluarga, hadanah, nafkah, pusaka, wali, serta lain-lain lagi.

Dalam isu ini juga, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-57 (Muzakarah Fatwa Kebangsaan) yang bersidang pada 10 Jun 2003 telah membincangkan mengenai Anak Tak Sah Taraf. Muzakarah telah memutuskan Anak Tak Sah Taraf ialah seperti berikut:

  1. Anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan dia bukan daripada persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak perhambaan.
  2. Anak dilahirkan kurang dari 6 bulan 2 lahzah (saat) mengikut Takwim Qamariah daripada tarikh tamkin (setubuh).
status anak luar nikah atau anak tidak sah tidak dibinkan bapa ayah

Anak tak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut. Oleh itu mereka tidak boleh pusaka mempusakai, tidak menjadi mahram dan tidak boleh menjadi wali.

Rujuk Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatan Kuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (hal. 206-207)

Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan pada tarikh 2 Januari 2001 pula telah memutuskan dan mewartakan fatwa bahawa “Anak yang dilahirkan lebih daripada 6 bulan Qamariah dari tarikh sesuatu pasangan ini diakadnikahkan ialah anak sah taraf”. (Rujuk Buku Fatwa-Fatwa Mufti Wilayah Persekutuan 1987-2010, hal. 8, 37 & 38)

Kesimpulan

Hukum bagi mereka yang berzina termasuklah dalam dosa-dosa yang besar. Mereka yang berzina perlulah bertaubat dengan sebenar-benar taubat, menyesal dengan tindakan mereka serta berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

Bagi pasangan yang telah berzina kemudian berkahwinan, perkahwinan tersebut sah dengan syarat cukup kelima-lima rukun nikah.

Manakala bagi status anak luar nikah pula, jika si isteri melahirkan anak tersebut selepas 6 bulan dari tarikh mereka bernikah, anak tersebut boleh dinasabkan dengan ayahnya. Namun jika anak tersebut lahir kurang dari 6 bulan selepas mereka bernikah, anak ini tidak boleh dinasabkan ke atas nama bapanya.

Berdasarkan persoalan yang dikemukakan, dapat difahami bahawa pasangan ini hanya bernikah setelah kandungan bayi telah mencapai usia 4 bulan. Kebiasaannya, hanya tinggal 5 bulan sahaja sebelum bayi itu dilahirkan. Jika benar bayi itu lahir selepas 5 bulan pasangan ini berkahwin, maka anak ini tidak boleh dinasabkan kepada bapanya.

Semoga Allah pelihara kita semua dari dosa-dosa besar mahupun dosa-dosa kecil. Amin.

Wallahualam.

3 thoughts on “Hukum terlanjur anak luar nikah. Apakah status anak tersebut?”

  1. Saya mempunyai kawan yang telah melahirkan anak luar nikah namun dia telah berkahwin dengan lelaki tersebut yang telah dia berzina. Saya ada terbaca hukum anak tersebut dan lelaki tersebut selepas berkahwin adalah seperti bapa tiri.

    Namun mereka telah bercerai. Soalan saya apakah hukum anak tersebut dan lelaki tersebut. Adakah kekal seperti bapa tiri atau kembali menjadi asing?

    Reply
  2. Saya ada pertanyaan. Saya dah terlanjur dengan isteri saya 2 bulan sebelum pernikahan, dan didapati isteri saya hamil 7 minggu awal dari tarikh pernikahan. Adakah anak saya tidak boleh dibinkan saya? Adakah anak saya boleh disahkan taraf? Bagaimana pulak bolehkah dia menjadi nasab saya?

    Reply
  3. Saya ada pertanyaaan , saya dah terlanjur dengan pasangan dan didapati saya hamil sudah 5 bulan , adakah anak yang dikandung oleh saya boleh ber binti kan ayahnya .

    Reply

Leave a Comment

Ada kemusykilan? Tanya Ustaz.