Hukum Menjual Semula Bantuan Makanan Daripada NGO

Tajuk: Apakah hukum menjual semula bantuan makanan yang diterima?

Salam Ustaz. Saya hidup susah sekarang ini sebab sudah 3 bulan dibuang kerja dan hidup dengan ehsan orang sahaja. Dan saya ada terima banyak bantuan makanan dari beberapa NGO.

Tapi bolehkah saya menjual barangan bantuan tersebut sebab saya memerlukan duit untuk membayar bil dan sewa saya? Sebab bantuan makanan itu sudah menjadi hak saya kan?

– Adli

Jawapan Hukum Menjual Semula Bantuan Makanan

Wassalam.

Dalam Islam, seseorang yang menerima sesuatu tanpa mengharapkan balasan disebut hibah, hadiah dan sedekah.

Hibah secara umumnya bermaksud pemberian sesuatu barang tanpa gantian. Hadiah ialah pemberian sesuatu barang kepada seseorang sebagai satu penghormatan atau kemuliaan. Sedekah pula ialah pemberian kepada yang memerlukan dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah dan ganjaran pahala di akhirat.

Dapat dilihat di sini bahawa walaupun ketiga-tiga perkara ini hampir sama, namun ianya dibezakan mengikut niat pemberi. Adapun amalan pemberian hibah, hadiah atau sedekah ini amat digalakkan dalam Islam.

Firman Allah SWT:

فَإِن طِبْنَ لَكُمْ عَن شَيْءٍ مِّنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَّرِيئًا

Maksudnya: “Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian daripada maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.”

❊ Surah al-Nisa’: 4 ❊

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

تَهَادُوا تَحَابُّوا

Maksudnya: Saling memberi hadiahlah kamu nescaya kamu akan saling sayang-menyayangi.

❊ Riwayat Al-Bukhari, hadith no. 594 ❊

Hukum Menjual Barangan Derma / Sedekah

Barangan yang telah diberi atau didermakan telah menjadi hak milik penerima. Penerima berhak menggunakan barang tersebut seperti mana yang dia kehendaki.

Malah, barang yang telah diberi, didermakan atau dihadiahkan ini tidak boleh diambil semula oleh pemberinya kecuali pemberian dari seorang ayah kepada anaknya.

hukum menjual semula bantuan makanan jkm kerajaan

Rasulullah s.a.w. bersabda:

لا يَحِلُّ للرجُلِ أنْ يُعطِيَ العَطِيَّةَ، فيَرجِعَ فيها، إلَّا الوالدَ فيما يُعطِي ولَدَه

Maksudnya: Tidak halal bagi seorang yang telah menghulurkan satu pemberian menarik kembali pemberiannya melainkan pemberian seorang bapa kepada anaknya.

Riwayat Abu Daud, hadith no. 3539

Penerima barangan juga boleh menjual atau melakukan apa sahaja terhadap barangan yang diterima, berdasarkan kisah yang diceritakan oleh Saidina Ibnu Umar r.a. :

Abdullah bin Umar berkata, “Umar membawa baju jubah yang dibuat daripada sutera yang dibelinya di pasar, jubah tersebut kemudian diberikan kepada Rasulullah s.a.w. seraya berkata, “Wahai Rasulullah, belilah jubah ini kerana ia boleh mempercantikkan penampilan ketika solat hari raya atau ketika menyambut para delegasi.”

Rasulullah s.a.w. lalu berkata kepadanya: “Ini adalah pakaian orang yang tidak akan mendapatkan bahagian (nikmat di akhirat).” Kemudian Umar tidak kelihatan untuk beberapa waktu lamanya menurut apa yang Allah kehendaki, kemudian Rasulullah s.a.w. mengirimkan kepada Umar sebuah jubah sutera. Maka Umar pun membawanya menemui Rasulullah s.a.w. seraya berkata:

“Wahai Rasulullah, tuan telah memberikan pakaian ini untukku, padahal tuan telah berkata, ‘Ini adalah pakaian orang yang tidak akan mendapat bahagian (nikmat di akhirat)’. Lalu mengapa tuan mengirimnya kepadaku?” Maka Rasulullah s.a.w. pun berkata kepadanya: “Juallah, atau dengannya boleh memenuhi kehendakmu.”

❊ Riwayat Bukhari, hadith no. 948 ❊

Dalam hadith ini, Rasulullah s.a.w. memberikan sebuah jubah sutera kepada saidina Umar, dan baginda membenarkan saidina Umar menjual jubah tersebut atau membuat apa sahaja dengannya.

Hadith sahih ini jelas menunjukkan hukum keharusan orang yang menerima sesuatu untuk membuat apa sahaja dengan barangan yang diterimanya itu, samada mahu dijual seperti menjual semula bantuan makanan diterima NGO tadi, digunakan, dihadiahkan kepada orang lain, atau membuat apa sahaja.

Kesimpulan

Barangan yang diterima oleh seseorang – sama ada barangan tersebut berbentuk makanan atau apa sahaja – telah menjadi hak mutlak miliknya.

Penerima boleh menjual barangan tersebut atau melakukan apa sahaja dengan barangan tersebut tanpa perlu meminta izin terhadap sesiapa.

Walaupun dari segi hukum anda berhak untuk menjual bantuan yang telah diterima tapi seelok-eloknya, awal-awal lagi anda tolak bantuan makanan tersebut jika keperluan anda sudah mencukupi.

Maka bantuan tersebut boleh diberikan kepada orang lain yang memerlukannya dan ambil bantuan sekadar cukup untuk meneruskan hidup sahaja.

InsyaAllah rezeki anda tidak akan putus-putus selepas ini disebabkan anda tidak tamak.

Wallahua’lam.

Apakah hukum saya menjual semula bantuan makanan yang saya terima dari NGO?

Hukum harus orang yang menerima sesuatu untuk membuat apa sahaja dengan barangan yang diterimanya itu kerana sudah menjadi hakmiliknya (rujuk hadis).

Bolehkah saya menjual semula bantuan berlebihan yang saya terima?

Walaupun dari segi hukum anda berhak untuk menjual bantuan yang telah diterima tapi seelok-eloknya ditolak bantuan itu awal lagi sekiranya sudah mencukupi kerana boleh diberikan kepada orang lain yang memerlukannya.

tanyaustaz-penulisSoalan ini dijawab oleh Ustaz Ahmad Fadzli Fauzi. Beliau berkelulusan Sarjana Muda Syariah (Fiqh & Usul) dari Universiti Malaya.

Leave a Comment

Ada kemusykilan? Tanya Ustaz.