Buku doa percuma

Hukum perempuan berjumpa doktor lelaki ketika bersalin

Tajuk: Apakah hukum saya sebagai perempuan berjumpa doktor lelaki terutama ketika bersalin?

Salam Ustaz, Saya nak tanya sebab saya betul-betul terkeliru bagaimana sebenarnya hukum darurat dengan kadar yang diizinkan untuk seoarang perempuan berjumpa doktor lelaki?

Adakah perempuan yang ingin bersalin dibolehkan berjumpa dr lelaki. Kerana semestinya doktor lelaki itu akan menyentuh bahagian sulit wanita. Berbagai rujukan telah saya lakukan tetapi saya masih buntu untuk menentukan bagaimana darurat yang sebenarnya kerana untuk mendapatkan khidmat dr wanita di hospital swasta tinggi. Apakah alasan-alasan seperti ini boleh diguna pakai? Saya memohon pendapat ustaz untuk meleraikan kekeliruan ini. Terima kasih.

– Lina

Jawapan Ustaz Hukum perempuan berjumpa doktor lelaki ketika bersalin

Waalaikumussalam,

Islam sangat menjaga maruah diri sehinggakan kita diwajibkan untuk menutup aurat. Kita turut diharamkan untuk mendedahkan aurat kita kepada orang yang bukan mahram.

Firman Allah s.w.t. :

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ

“Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka.”

Surah al-Nur: 30

Hukum Wanita Bertemu Doktor Lelaki ketika darurat

Jika pesakit wanita sekadar bertemu dengan doktor lelaki tanpa mendedahkn auratnya, ianya tidak menjadi masalah, asalkan ada orang lain yang menemani pertemuan tersebut.

Namun, jika wanita tersebut perlu mendedahkan auratnya kepada doktor lelaki, ianya hanya dibenarkan dalam keadaan darurat sahaja.

Para ulama telah menyandarkan keharusan ini berdasarkan hadith Jabir r.a.:

أَنَّ أُمَّ سَلَمَةَ اسْتَأْذَنَتْ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْحِجَامَةِ فَأَمَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبَا طَيْبَةَ أَنْ يَحْجُمَهَا قَالَ حَسِبْتُ أَنَّهُ قَالَ كَانَ أَخَاهَا مِنَ الرَّضَاعَةِ، أَوْ غُلَامًا لَمْ يَحْتَلِمْ

Maksudnya: “Bahawa Umm Salamah (isteri Nabi SAW) meminta izin daripada Rasulullah SAW untuk berbekam lalu Nabi meminta Abu Taibah untuk menjalankan rawatan bekam ke atas Umm Salamah.” Berkata Jabir: “Aku kira bahawa Abu Taibah itu adalah saudara susuan Umm Salamah atau budak kecil yang belum baligh.”

❊ Riwayat Muslim, hadith no. 2206 ❊

Berkata Syeikh Mulla Ali al-Qari Rahimahullah berkaitan syarah hadis ini:

قد صرح علماؤنا بأن غير المحرم أيضا عند الضرورة يحجم ويقصد ويختن وقال الطيبي – رحمه الله – : يجوز للأجنبي النظر إلى جميع بدنها للضرورة وللمعالجة

Maksudnya: “Telah dijelaskan oleh para ulama kita bahawa sekalipun bukan mahram boleh untuk menjalankan rawatan bekam, fasdu, dan khitan.” Berkata al-Taibi Rahimahullah: “Dibenarkan bagi lelaki ajnabi untuk melihatkan pada sekalian tubuh wanita bagi tujuan darurat dan rawatan.

❊ Rujuk Marqah al-Mafatih – no. 3103 ❊

Hukum ibu bersalin dengan doktor lelaki

Justeru, termasuklah dalam kategori rawatan ini ialah menyambut kelahiran kerana ia melibat nyawa ibu dan anak jua.

Keharusan ini tertakluk kepada kaedah fiqh iaitu:

 الضرورة تقدر بقدرها        

Maksudnya: “Darurat itu mengikut kadar Keperluannya.”

Jika ada bahagian aurat yang perlu didedahkan, maka cukuplah sekadar bahagian yang perlu untuk prosedur itu sahaja tanpa melampaui bahagian badan lain. Bermakna, kadar darurat ini akan berubah mengikut keadaan yang diperlukan.

Dari segi perawatan, terdapat prosedur yang bersifat pemeriksaan, penyiasatan, penyelidikan, dan seumpamanya. Jika perkara tersebut memerlukan pendedahan aurat, maka haruslah sekadar yang diperlukan tanpa didedahkan aurat yang tidak berkaitan.

Contohnya, jika doktor lelaki tersebut perlu memeriksa perut pesakit wanitanya, dia hanya boleh melihat kawasan perut sahaja tanpa melihat bahagian aurat yang lain.

Baca: Doa untuk ibu mengandung dan surah-surah amalan pilihan

Syarat untuk wanita berjumpa doktor lelaki:

  • darurat dan ketiadaan doktor perempuan
  • mestilah ditemani oleh suami/mahram
  • atau ditemani oleh wanita Islam yang dipercayainya

Benar, terdapat pilihan bagi ibu yang mengandung untuk bersalin di hospital swasta. Namun, kadar bayaran yang terlalu tinggi membuatkan mereka memilih untuk bersalin di hospital kerajaan. Alasan ketiadaan wang yang mencukupi untuk bersalin di hospital swasta adalah dibenarkan dalam Islam, lebih-lebih lagi kini sudah semakin ramai doktor wanita yang menjadi pakar sakit puan.

Kesimpulan

Wanita yang mengandung dan bersalin dibenarkan untuk membuka auratnya dan mendapatkan rawatan di hadapan doktor lelaki jika ketiadaan doktor perempuan pada ketika itu.

Namun, situasi tersebut perlulah ditemani oleh suami atau mahramnya. Jika mereka tidak dibenarkan masuk atas alasan yang kukuh, ianya perlulah ditemani oleh wanita Islam yang thiqah (dipercayai). Doktor lelaki tersebut pula hanya dibenarkan melihat bahagian aurat yang diperlukan sahaja tanpa melihat bahagian aurat yang lain.

Buat para ibu, janganlah terlalu bimbang dan rasa berdosa jika mereka terpaksa mendedahkan aurat mereka di hadapan doktor lelaki.

Buat para suami, sentiasalah menemani isteri anda. Mintalah secara baik kepada pihak hospital agar perawat wanita yang akan memeriksa serta menyambut bayi anda. Jika tiada juga doktor perempuan pada ketika itu, suami dan isteri tersebut tidaklah berdosa.

Wallahualam.

Apakah hukum perempuan bersalin dengan doktor lelaki?

Hukumnya harus kerana jika ketiadaan doktor wanita pada ketika itu kerana ia termasuk dalam darurat dengan syarat ditemani oleh suami atau mahramnya.

bolehkan wanita membuka aurat dihadapan doktor lelaki?

Ianya dibenarkan sekiranya dalam keadaan darurat sahaja.

1 thought on “Hukum perempuan berjumpa doktor lelaki ketika bersalin”

Leave a Comment

Ada kemusykilan? Tanya Ustaz.