Hukum Derma Darah Pada Musim Korban (Raya Haji)

Salam ustaz.

Assalamualaikum. Saya nak bertanya sikit ustaz. Saya nak buat korban musim ni. Boleh ke kalau saya nak derma darah minggu ni? Lagipun saya dah ada temujanji dengan hospital.

Harap Ustaz boleh jelaskan.

Zainab Rahman

Jawapan Hukum Derma Darah Pada Musim Korban

Korban merupakan ibadah yang sangat dituntut untuk melakukannya. Ianya merupakan sunat muakkad iaitu ibadah yang sangat digalakkan sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a., bahawa Nabi s.a.w. bersabda:

مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ القِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

Maksudnya: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).”

❊ Riwayat al-Tirmizi, hadith no. 1493 ❊

Imam al-Tirmizi menghukum hadith ini sebagai hasan gharib

Larangan Yang Berniat Korban

Bagi mereka yang melakukan korban pada tahun tersebut, terdapat beberapa larangan yang dikenakan ke atas mereka apabila masuknya bulan 1 Zulhijjah hinggalah selesainya penyembelihan ibadah korbannya.

Hal ini berpandukan hadis daripada Ummu Salamah R.anha bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

مَنْ كَانَ لَهُ ذِبْحٌ يَذْبَحُهُ فَإِذَا أُهِلَّ هِلَالُ ذِي الْحِجَّةِ، فَلَا يَأْخُذَنَّ مِنْ شَعْرِهِ، وَلَا مِنْ أَظْفَارِهِ شَيْئًا حَتَّى يُضَحِّيَ

Maksudnya: Barangsiapa yang mempunyai binatang korban untuk disembelih, maka apabila terlihatnya anak bulan Zulhijjah, janganlah dia mengambil satu apa pun (yakni memotong) daripada rambutnya, mahupun daripada kukunya sehingga dia selesai berkorban.

❊ Riwayat Imam Muslim, hadith no. 1977 ❊

Larangan yang dikenakan bagi mereka yang ingin berkorban sewaktu masuknya 1 Zulhijjah hingga selesainya ibadah korban ialah:

  1. Memotong rambut
  2. Memotong kuku

Larangan ini bukanlah bersifat haram, sebaliknya hanyalah makruh. Bagi mereka yang tidak memotong rambut dan kuku dalam tempoh tersebut, mereka diberikan ganjaran pahala. Sebaliknya bagi mereka yang memotongnya, mereka tidaklah pula berdosa.  Inilah pandangan yang dipegang oleh majoriti ulama, termasuklah para ulama bermazhab Syafie.

Terdapat juga para ulama yang menambah larangan ini temasuklah juga larangan memotong atau mencabut bulu pada badan seperti misai dan janggut. Ini adalah pendapat Sa’id bin al-Musayyib, Rabi’ah, Ahmad, Daud al-Zahiri, Ishak dan juga sebahagian ashab al-Syafi’e.

Hukum Menderma Darah Bagi Mereka Yang Berkorban

Seperti yang dijelaskan di atas, larangan bagi mereka yang berkorban hanyalah larangan memotong rambut serta kuku. Larangan tersebut juga bukanlah larangan yang haram, sebaliknya makruh. Bermakna selain daripada perbuatan tersebut, hukumnya harus.

Menderma darah adalah salah satu perbuatan yang terpuji. Majoriti ulama meletakkan hukum menderma darah adalah sunat, terutamanya di waktu pihak hospital sendiri sangat memerlukannya.

Tidak disebutkan juga larangan mendermakan darah bagi mereka yang berkorban di dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Kami juga tidak menemui larangan daripada para ulama muktabar berkaitan isu mendermakan darah bagi mereka yang berkorban.

Kesimpulan

Mereka yang berkorban dibenarkan untuk mendermakan darah mereka dalam tempoh 1 Zulhijjah sehingga selesainya penyembelihan korban mereka. Larangan yang disebutkan oleh baginda s.a.w. hanyalah larangan memotong rambut dan kuku.

Adapun jika ada tambahan larangan lain seperti yang disebutkan oleh sebahagian ulama ialah larangan memotong bulu seperti misai dan janggut. Kami tidak menemui larangan mendermakan darah seperti mana yang disebut oleh mana-mana ulama muktabar.

Wallahualam.

Bolehkah saya menderma darah sekiranya saya berniat untuk melakukan korban pada Raya Haji nanti?

Boleh kerana tiada disebutkan larangan mendermakan darah bagi mereka yang berkorban di dalam Al-Quran dan As-Sunnah.

Apakah hukum memotong kuku sekiranya saya ingin berkorban musim ini?

Hukumnya makruh kerana ianya termasuk dalam larangan yang dikenakan bagi mereka yang ingin berkorban sewaktu masuknya 1 Zulhijjah hingga selesainya ibadah korban.

tanyaustaz-penulisSoalan ini dijawab oleh Ustaz Ahmad Fadzli Fauzi. Beliau berkelulusan Sarjana Muda Syariah (Fiqh & Usul) dari Universiti Malaya.

Leave a Comment

Ada kemusykilan? Tanya Ustaz.