Buku doa percuma

Hukum terlupa baca doa qunut subuh. Sahkah solat itu?

Tajuk: Menjelaskan hukum membaca doa qunut solat Subuh dan status sahkah solat jika terlupa baca doa qunut Subuh.

Salam ustaz.

Saya nak bertanya tentang hukum terlupa baca doa qunut subuh. Saya ada dengar dalam ceramah katanya doa qunut ini hanyalah sunat dan tidak mengapa jika tidak dibuat dan tidak perlu sujud sahwi. Tapi saya terlupa untuk baca qunut dan tidak membuat sujud sahwi dengan memberikan salam terakhir terus. Kawan saya kata solat saya tidak sah kerna tidak sujud sahwi.

Mohon penjelasan ustaz. – Azmi

Jawapan Ustaz hukum terlupa baca doa qunut subuh

Waalaikumsalam. Alhamdulillah, tahniah buat yang bertanya kerana telah bertanya dengan mereka yang selayaknya untuk menjawabnya. Bagi merungkaikan persoalan mengenai ibadah, seharusnya ditanyakan kepada mereka yang memiliki ilmunya, bukan bertanya kepada orang awam yang mungkin kurang memahami permasalahan tersebut.

Apapun, apa yang saudara dengan dari ceramah itu adalah benar. Hukum membaca doa qunut hanyalah sunat. Tidak mengapa jika tidak dibuat dan solat tetap sah jika tidak dibuat sujud sahwi jika terlupa. Apapun, berikut kami berikan jawapan yang lebih mendalam bersama dalilnya.

Hukum Membaca Doa Qunut Ketika Solat Subuh

hukum lupa baca doa qunut dan sujud sahwi ketika subuh

Mengikut mazhab Syafie iaitu mazhab yang diamalkan di Malaysia, kita disunatkan untuk membaca doa qunut sewaktu mendirikan solat Subuh. Jika kita terlupa membacanya, kita disunatkan untuk melakukan sujud sahwi.

Baca: Hukum memakai barang copy-ori untuk solat

Definasi Sujud Sahwi

Menurut kitab al-Feqh al-Manhaji: Al-Sahwu adalah suatu kekurangan yang berlaku pada orang yang sedang solat di dalam solatnya. Sama ada ia berlaku secara sengaja ataupun secara terlupa. Dan sujud – tempatnya di penghujung solat – sebagai jabr (suatu yang menguatkan) kekurangan tersebut. Rujuk Al-Feqh al-Manhaji (1/172).

Perbuatan sujud sahwi ini adalah bersumberkan kepada sebuah kisah yang masyhur sebagai kisah Zul Yadain, yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata:

Maksudnya: Nabi S.A.W mengimamkan solat zohor atau asar bersama kami. Kemudian baginda memberi salam. Maka berkata Zul Yadain kepada Nabi: Solat wahai Rasulullah, adakah kau telah mengurangkannya? Maka Nabi S.A.W bersabda: Benarkah apa yang dia katakan? Maka para sahabat pun berkata: Ya. Lalu baginda melakukan dua solat yang berbaki, kemudian sujud sebanyak dua kali.

❊ Riwayat al-Bukhari (1169) ❊

Antara sebab yang menuntut kepada sujud sahwi adalah: Seseorang itu meninggalkan salah satu dari sunat ab’adh di dalam solat. Sunat-sunat ab’adh di dalam solat adalah beberapa perkara berikut:

  1. Al-Tasyahhud Al-Awwal
  2. Selawat ke atas Nabi S.A.W selepas tasyahhud yang pertama.
  3. Duduk untuk tasyahhud awal.
  4. Selawat ke atas ahli keluarga Nabi S.A.W sesudah tasyahhud akhir.
  5. Qunut semasa i’tidal pada rakaat kedua solat Subuh.

Antara yang dituntut untuk melakukan sujud sahwi ini termasuklah juga jika seseorang meninggalkan dua qunut semasa I’tidal pada rakaat kedua solat Subuh. Namun, jika seseorang itu terlupa untuk melakukan sujud sahwi kerana terlupa membaca dua qunut, solat Subuhnya tetap sah kerana hukum membaca doa qunut hanyalah sunat semata-mata.

Bahkan, jika seseorang itu dengan sengaja meninggalkan sujud sahwi kerana terlupa membaca doa qunut, solat subuhnya tetap sah. Begitu juga mereka yang sememangnya tidak berniat untuk membaca doa qunut ketika solat Subuh, solatnya juga masih sah.

Kesimpulan

Hukum membaca doa qunut Ketika solat Subuh hanyalah sunat. Jika terlupa untuk membacanya, kita dianjurkan untuk melakukan sujud sahwi. Namun jika terlupa untuk melakukan sujud sahwi, solat Subuh tersebut tetap sah.

Wallahualam.

SAhkah solat subuh saya sekiranya terlupa untuk baca doa qunut?

Solat itu sah tapi mengikut mazhab Syafie yang diamalkan di Malaysia, jika kita terlupa membacanya, kita disunatkan untuk melakukan sujud sahwi.

Apakah hukum membaca doa qunut solat subuh?

Hukum membaca doa qunut Ketika solat Subuh hanyalah sunat.

Saya terlupa baca doa qunut dan sujud sahwi. Sahkah solat saya?

Jika seseorang itu terlupa untuk melakukan sujud sahwi kerana terlupa membaca dua qunut, solat Subuhnya tetap sah.

Leave a Comment

Ada kemusykilan? Tanya Ustaz.