Panduan Lengkap Solat Hajat Dan Doa Solat Sunat Hajat

Hari ini, Ustaz ingin berkongsi panduan lengkap cara Solat Hajat mudah berserta Doa Solat Hajat untuk rujukan orang ramai.

panduan cara solat hajat mudah dan ringkas

Tiada siapa yang dilahirkan di dunia ini tanpa impian mahupun keinginan. Fitrah manusia itu sendiri lemah dan memerlukan tempat berpaut untuk memohon sesuatu hajat.

Ada manusia yang berada dalam kesusahan, lalu dia berhajat agar diangkat kesusahan yang menghimpit dirinya. Ada manusia yang mempunyai impian yang besar, lalu dia memohon agar dipenuhi segala impiannya.

Namun, bukanlah segala apa yang kita harapkan akan menjadi nyata. Bukanlah segala kesusahan kita akan diangkat. Cumanya sebagai hamba, kita ada sesuatu yang mampu menjadi dorongan iaitu harapan. Kita meletakkan sepenuh pengharapan dan hajat kita kepada Allah s.w.t.

Solat Hajat

Solat Hajat adalah solat sunat yang dibuat untuk memohon sesuatu hajat atau ketika berada dalam kesulitan seperti seperti kemarau, sakit, dan peperiksaan. Kebiasaannya solat sunat hajat dilakukan secara bersendirian, tapi juga boleh dibuat secara berjemaah.

Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. menjelaskan akan bagaimana kita mahu memohon hajat kepada Allah s.w.t. :

‏ مَنْ كَانَتْ لَهُ حَاجَةٌ إِلَى اللَّهِ أَوْ إِلَى أَحَدٍ مِنْ خَلْقِهِ فَلْيَتَوَضَّأْ وَلْيُصَلِّ رَكْعَتَيْنِ

Maksudnya: “Sesiapa yang ada hajat pada Allah s.w.t. atau pada sesiapa daripada kalangan anak Adam, hendaklah dia mengambil wuduk dan kemudian menunaikan solat dua rakaat.”

❊ Riwayat Ibnu Majah, hadith no. 1384 ❊

Begitu juga yang diceritakan di dalam Al-Quran bahawa tempat yang mustajab untuk memohon sesuatu hajat adalah ketika solat. Ini adalah sebagaimana firman Allah s.w.t.:

وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ

Maksudnya: Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat.

Surah al-Baqarah: 45

Dapatlah difahami di sini bahawa solat sunat Hajat adalah solat yang dikerjakan oleh seseorang yang mempunyai hajat tertentu dan ingin memohon kepada Allah agar diperkenankan hajat tersebut.

Hukum Solat Hajat

Para ulama sepakat bahawa hukum menunaikan solat hajat adalah sunat. Ianya berdalilkan hadith Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan daripada Abdullah Ibn Abi Awfa Al-Aslami r.a., beliau berkata: Rasulullah S.A.W pada suatu hari telah keluar menuju ke arah kami lalu bersabda:

Sesiapa yang mempunyai sebarang hajat kepada Allah atau kepada salah seorang daripada makhluk-Nya, maka hendaklah dia berwuduk dan kemudiannya solat dua rakaat lalu dia membaca:

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ الْحَلِيمُ الْكَرِيمُ سُبْحَانَ اللَّهِ رَبِّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مُوجِبَاتِ رَحْمَتِكَ وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالْغَنِيمَةَ مِنْ كُلِّ بِرٍّ وَالسَّلاَمَةَ مِنْ كُلِّ إِثْمٍ أَسْأَلُكَ أَلاَّ تَدَعَ لِي ذَنْبًا إِلاَّ غَفَرْتَهُ وَلاَ هَمًّا إِلاَّ فَرَّجْتَهُ وَلاَ حَاجَةً هِيَ لَكَ رِضًا إِلاَّ قَضَيْتَهَا لِي

Maksudnya: Tidak ada tuhan yang diabdikan diri selain Allah, Tuhan yang Maha Lembut lagi Maha Mulia. Maha suci Allah, tuhan kepada ‘arasy yang agung. Segala puji bagi Allah, tuhan sekalian alam. Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu perkara-perkara yang mendatangkan rahmat-Mu, serta pengampunan-Mu, ghanimah dari setiap kebaikan, dan kesejahteraan daripada semua dosa. Aku juga memohon ampun kepada-Mu, supaya Kau tidak meninggalkan kepadaku satu dosapun kecuali telah Kau ampunkannya. Tidak juga sebarang kegusaran melainkan Kau pemudahkan ia, serta tidak ada hajat yang Kau redha kepadanya melainkan kau laksanakan ia untuk diriku.Kemudian dia meminta kepada Allah berkenaan perkara dunia dan akhirat, maka sesungguhnya ia ditakdirkan.

❊ Hadith riwayat Ibn Majah, no. 1384 ❊

Waktu Solat Sunat Hajat

Solat-hajat ini boleh dilakukan pada bila-bila masa, sama ada siang mahupun malam.

Ianya hanya dilarang didirikan pada waktu yang diharamkan untuk didirikan solat sunat. Waktu yang diharamkan solat sunat yang juga dikenali sebagai waktu tahrim adalah seperti berikut:

  1. Sesudah solat subuh sehingga berakhirnya waktu subuh.
  2. Ketika matahari hampir terbit atau sedang terbit.
  3. Ketika rembang iaitu matahari tegak di atas kepala iaitu kira-kira 15 minit sebelum masuknya waktu Zuhur, melainkan pada hari jumaat.
  4. Sesudah solat asar sehingga masuknya waktu maghrib.

Cara Solat Hajat

Solat hajat ini boleh dibuat secara individu berseorangan dan juga berjemaah.

Berikut adalah cara solat sunat hajat ringkas dua rakaat:

1. Niat & Takbiratulihram

niat solat hajat

Niat hanya dilakukan dengan lintasan di dalam hati. Namun tidak salah untuk dilafazkan bacaan niat dengan lidah dalam bahasa Arab mahupun bahasa lain sebelum diangkat takbir bagi menguatkan hati.

Lafaz niat solat hajat:

أُصَلِّي سُنَّةَ الحَاجَةِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعاَلَى
U-shol-lii sun-na-tal haa-ja-ti rok-’a-tai-ni lil-laa-hi ta-’aa-laa
Sahaja aku Solat Sunat Hajat dua raka’at, kerana Allah Ta’ala.

2. Membaca Surah Al-Fatihah

surah al fatihah arab rumi melayu

Boleh terus mulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah selepas mengangkat takbir.

3. Membaca Ayat Kursi

ayatul-kursi

Membaca apa-apa surah atau ayat di dalam Al-Quran. Tapi digalakkan membaca Surah Al-Ka’firun atau Ayatul Kursi atau kedua-duanya sekali.

Bacaan Ayat Kursi

Allahu la ilaha illa Huwa, Al-Haiyul-Qaiyum
La ta’khuzhuhu sinatun wa la nawm,
lahu ma fis-samawati wa ma fil-‘ard
Man zhal-lazhi yashfa’u ‘indahu illa bi-izhnihi
Ya’lamu ma baina aidihim wa ma khalfahum,
wa la yuhituna bi shai’im-min ‘ilmihi illa bima sha’a
Wasi’a kursiyuhus-samawati wal ard,
wa la ya’uduhu hifdzhuhuma Wa Huwal ‘Aliyul-Azheem

4. Rukuk & Sujud

Selesai membaca ayat Kursi, teruskan solat dengan rukuk dan sujud seperti biasa dan bangun semula untuk rakaat kedua.

5. Al-fatihah & Surah Al-Ikhlas

surah al-ikhlas rumi jawi melayu

Untuk rakaat kedua, selepas membaca Al-Fatihah, digalakkan membaca Surah Al-Ikhlas atau dua ayat terakhir Surah Al-Baqarah atau kedua-duanya sekali. Namun, anda bebas untuk membaca apa-apa surah atau ayat di dalam Al-Quran.

6. Tahiyat Akhir & Salam

cara sholat hajat lengkap

Selepas membaca surah Al-Ikhlas tadi, rukuk dan sujud, sudahilah dengan tahiyat akhir bersama salam. Selesailah sudah solat sunat hajat hari ini.

Kemudian duduklah dahulu di sejadah dan beristighfarlah kepada Allah. Banyakkan berwirid memuji Allah dan Nabi Muhammad s.a.w.


Tertib Solat Hajat

Rakaat Pertama

  1. Membaca Surah Al-Fatihah
  2. Membaca apa-apa surah atau ayat di dalam Al-Quran. Digalakkan membaca Surah Al-ka’firun atau Ayatul Kursi atau kedua-duanya sekali.
  3. Rukuk
  4. Iktidal
  5. Sujud
  6. Duduk antara dua sujud
  7. Sujud
  8. Bangun untuk rakaat kedua

Rakaat Kedua

  1. Membaca Surah Al-Fatihah
  2. Membaca apa-apa surah atau ayat di dalam Al-Quran. Digalakkan membaca Surah Al-Ikhlas atau dua ayat terakhir Surah Al-Baqarah atau kedua-duanya sekali.
  3. Rukuk
  4. Iktidal
  5. Sujud
  6. Duduk antara dua sujud
  7. Sujud
  8. Duduk tahiyat akhir
  9. Membaca bacaan ketika tahiyat akhir
  10. Memberi salam ke kanan dan ke kiri

Usai berwirid, tadahlah tangan dan memohon keampunan Allah. Dan mohonlah hajat anda kepada Allah.

Anda boleh membaca sebarang doa dalam Bahasa Arab mahupun Bahasa Melayu.

Namun, terdapat doa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. untuk dibacakan dalam solat sunat hajat:

Doa Solat Sunat Hajat

Doa solat hajat yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. yang sama-sama boleh amalkan:

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ الْحَلِيمُ الْكَرِيمُ سُبْحَانَ اللَّهِ رَبِّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مُوجِبَاتِ رَحْمَتِكَ وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالْغَنِيمَةَ مِنْ كُلِّ بِرٍّ وَالسَّلاَمَةَ مِنْ كُلِّ إِثْمٍ أَسْأَلُكَ أَلاَّ تَدَعَ لِي ذَنْبًا إِلاَّ غَفَرْتَهُ وَلاَ هَمًّا إِلاَّ فَرَّجْتَهُ وَلاَ حَاجَةً هِيَ لَكَ رِضًا إِلاَّ قَضَيْتَهَا لِي

Maksudnya: Tidak ada tuhan yang diabdikan diri selain Allah, Tuhan yang Maha Lembut lagi Maha Mulia. Maha suci Allah, tuhan kepada ‘arasy yang agung. Segala puji bagi Allah, tuhan sekalian alam. Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu perkara-perkara yang mendatangkan rahmat-Mu, serta pengampunan-Mu, ghanimah dari setiap kebaikan, dan kesejahteraan daripada semua dosa. Aku juga memohon ampun kepada-Mu, supaya Kau tidak meninggalkan kepadaku satu dosapun kecuali telah Kau ampunkannya. Tidak juga sebarang kegusaran melainkan Kau pemudahkan ia, serta tidak ada hajat yang Kau redha kepadanya melainkan kau laksanakan ia untuk diriku.Kemudian dia meminta kepada Allah berkenaan perkara dunia dan akhirat, maka sesungguhnya ia ditakdirkan. (Hadith riwayat Ibn Majah, hadith no. 1384)

Doa ini boleh dibaca selepas selesainya mendirikan solat sunat hajat ataupun dibaca ketika kita sedang sujud, tidak kira sewaktu sujud rakaat pertama mahupun sujud ketika rakaat kedua. Walaupun ramai yang berdoa ketika sujud yang terakhir, namun sebenarnya kita disunatkan berdoa dalam semua sujud dan tidak dikhususkan dalam sujud terakhir sahaja.

Leave a Comment

Ada kemusykilan? Tanya Ustaz.