Buku doa percuma

Hukum Solat Sunat Ketika Imam Membaca Khutbah

Tajuk: Penjelasan mengenai hukum solat sunat ketika imam membaca khutbah Jumaat

Assalamualaikum. Ustaz bolehkah seorang lelaki membuat solat sunat ketika imam sedang membacakan khutbah pada hari jumaat? Apakah hukumnya solat sunat ketika imam membaca khutbah itu? – Syahir

Waalaikumsalam. Alhamdulillah buat si penanya. Solat Jumaat didirikan pada hari Jumaat. Hari Jumaat adalah perayaan mingguan buat umat Islam. Umat Islam terutamanya lelaki akan menyambut perayaan mingguan ini dengan hadir ke masjid ataupun surau untuk mendirikan Solat Jumaat secara berjemaah. Firman Allah Taala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

Surah al-Jumu’ah (9)

Seperti yang kita sendiri maklum, Solat Jumaat didirikan selepas selesainya khatib membaca dua khutbah. Hukum mendengar khutbah Jumaat adalah diwajibkan bagi mereka yang mendirikan solat Jumaat.

Begitulah juga perbuatan lewat menghadiri solat Jumaat sehingga ketinggalan mendengar khutbah Jumaat adalah dilarang kerana ia menyalahi arahan Allah SWT di dalam al-Quran. Namun, solat Jumaatnya tetap sah, cumanya perbuatannya yang sengaja meninggalkan kehadiran mendengar khutbah Jumaat adalah dikira berdosa.

Baca: Hukum Pakai barang copy-ori semasa solat

Hukum Solat Sunat Ketika Imam Membaca Khutbah

Seperti yang telah dijelaskan di atas, makmum diwajibkan untuk mendengar khutbah solat Jumaat. Namun seringkali juga kita melihat ada Jemaah lain yang baru hadir lalu mendirikan solat sunat sebelum duduk dan mendengar khutbah Jumaat. Lalu, apakah hukum mendirikan solat sunat Ketika khatib sedang membaca khutbah solat Jumaat?

Sebenarnya solat sunat yang hanya dibenarkan untuk didirikan ketika khutbah Jumaat sedang dibacakan hanyalah Solat Sunat Tahiyyatul Masjid. Solat Tahiyyatul Masjid ialah solat dua rakaat yang dilakukan oleh setiap orang yang masuk ke dalam masjid sebelum dia duduk. Hal ini berdasarkan hadith:

 فإِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمُ الْمَسْجِدَ فَلاَ يَجْلِسْ حَتَّى يُصَلِّىَ رَكْعَتَيْنِ

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu masuk ke dalam masjid, janganlah duduk sehingga dia bersolat sebanyak dua rakaat.” Riwayat al-Bukhari (433) dan Muslim (714)

Jika seseorang itu masuk ke dalam masjid sedangkan imam sudah naik ke mimbar atau sudah berkhutbah, sunat baginya untuk melakukan tahiyyatul masjid tetapi meringkaskannya. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Jabir RA, katanya bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَالإِمَامُ يَخْطُبُ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ وَلْيَتَجَوَّزْ فِيهِمَا

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu sampai ke masjid pada hari Jumaat dan imam sedang berkhutbah, dia hendaklah mendirikan solat dua rakaat yang ringkas dan sempurna.” Riwayat Muslim (875)

Cumanya, Solat Sunat Tahiyatul Masjid hanya didirikan sebelum kita duduk di kawasan masjid. Bermakna selepas masuk sahaja ke kawasan masjid atau surau yang didirikan Solat Jumaat, jangan terus duduk, sebaliknya terus dirikan Solat Sunat Tahiyatul Masjid. Namun, solat tersebut perlulah dilakukan secara ringkas seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW.

Solat sunat yang ringkas ialah membaca bacaan yang wajib sahaja seperti membaca Surah Al-Fatihah sahaja tanpa membaca doa iftitah serta surah pilihan lain selepas membaca Surah Al-Fatihah.

Seperkara lagi, jika kita masuk ke dalam masjid, namun imam atau khatib ketika itu sudah membaca khutbah kedua, sebaiknya kita duduk sahaja tanpa perlu mendirikan Solat Sunat Tahiyatul Masjid kerana dikhuatiri kita tidak sempat untuk mendapatkan takbir pertama Solat Jumaat bersama-sama imam.

Kesimpulan

Hukum mendirikan solat sunat ketika imam membaca khutbah adalah sunat. Namun, solat sunat tersebut perlulah dilakukan secara ringkas dengan dibaca apa yang diwajibkan sahaja dalam solat. Malah, mendirikan solat sunat secara ringkas ini adalah lebih utama berbanding terus duduk untuk mendengar khutbah jika waktu untuk didirikan solat itu masih lagi sempat dilakukan.

Mudah-mudahan Allah SWT melorongkan kita untuk istikhamah hadir ke masjid dan bukannya sekadar hadir ketika Solat Jumaat semata-mata. Moga-moga kita juga dapat hadir dengan lebih awal lagi ketika solat Jumaat untuk mengejar banyaknya pahala pada hari tersebut. Amin.

Wallahualam.

1 thought on “Hukum Solat Sunat Ketika Imam Membaca Khutbah”

Leave a Comment

Ada kemusykilan? Tanya Ustaz.